
The ReTuRn of…
Julai 1, 2009Salam. Hai semua! Mesti selama ni tertanya-tanya kan, kenapa lama sangat aku tak post apa-apa kat blog aku ni. Entah hidup lagi ke tidak penulis blog ni. Sebenarnya aku masih hidup…Alhamdulillah. Cuma dah lama aku tak berenang ke dunia blogging ni. Bukannya sebab kering idea ataupun aku dah tak punya apa-apa cerita. Banyak sangat sampai aku sendiri pun dah lupa.
Sebenarnya, sejak Januari tahun 2009 ni, aku ditawarkan menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di sebuah sekolah menengah. Hendak dijadikan cerita, aku menjadi cikgu di sekolah tempat aku pernah menuntut ilmu semasa di tingkatan empat dan lima dulu. Dekat sangatlah dengan rumah aku dan aku memang familiar lah dengan sekolah tu. Tapi yang janggal sikit, bila guru-guru yang pernah mengajar aku dulu (yang masih tinggal dalam lima enam orang, yang lain cikgu-cikgu baru) kini menjadi rakan sejawat. Huh, pelik rasanya tahu tak?! Tapi lama-lama lepas tu dah okay.
Apa kena mengena jadi cikgu dengan tak lagi aktif blogging?
Yalah…balik rumah saja, aku terus pengsan. Memang tak ada masa aku nak berjalan pergi cybercafé nak buka Internet. Letihlah jadi cikgu! Mungkin kalau orang yang minat jadi pendidik tidaklah rasa beban sangat. Tapi bagi orang macam aku ni, memang rasa macam nak pecah kepala! Apatah lagi aku mengajar tiga subjek (English, Sivik dan Pendidikan Seni) dan menjadi guru kelas. Adoi!!!
Sikap budak-budak sekolah yang memualkan seringkali membuatkan aku geleng kepala. Pantang ditegur sikit, mulalah buat muka yang selalunya menaikkan darah. Bila imbas balik zaman aku sekolah dulu, kalau dimarahi cikgu, memang kecut perut dan kita tak berani nak tengok muka cikgu, apatah lagi nak melawan. Lagipun kita masih ada rasa hormat terhadap guru.
Kalau cikgu minta tolong, kita berebut-rebut dengan kawan yang lain nak tolong. Tapi budak-budak sekarang, bila kita marah, siap buat muka macam nak telan kita pula. Bila kita minta tolong, boleh pula pass kat orang lain. Tak pun, mulalah bagi seribu alasan nak mengelak. Memang tak ada rasa tanggungjawab langsung. Kalau bab nak pegang jawatan, terhegeh-hegeh! Bila suruh buat kerja, macam dia pula bos!
Salah siapa sebenarnya? Mungkinkah kerana undang-undang yang menghadkan kuasa guru untuk menghukum pelajar yang membuatkan budak-budak sekolah sekarang semakin naik lemak? Tambahan pula ibu bapa sekarang mengada-ngada, anak jahat nak mampus tak nak mengaku. Bila anak kena hukum, mulalah buat report sana sini. Siap masuk tv, glamour sekejap. Kalau budak tak buat salah, tak ada cikgu yang saja jadi gila nak hukum tak pasal-pasal.
Orang kata zaman dah berubah, jadi tak boleh ambil tindakan yang sama macam zaman kita sekolah dulu terhadap budak-budak sekarang. Tetapi sedar tak, sebab itulah budak-budak semakin melampau. masalah sosial pula semakin berkembang-kembang macam kembang semangkuk yang dah jadi kembang sekawah.
Tak ada maknanya selitkan subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang seolah-olah satu propaganda dan bias demi kepentingan pihak tertentu. Nak kata perangai budak-budak semakin elok dan ada kesedaran sivik sejak subjek itu diperkenalkan…jauh sekali.
Tapi bukan semua budak macam tu. Ada juga yang memang baik, sweet, sopan-santun, menghormati guru dan tak pernah ingkar arahan guru. Memang sejuk hati dengan budak-budak macam ni.
Tak kurang juga yang pada semester pertama okay, tapi masuk semester kedua dah mula buat orang meluat. Perasan bagus! Hanya segelintir saja budak-budak sekolah yang bodoh sombong dan sememangnya spesis ni mencemarkan alam persekolahan yang sepatutnya menggembirakan dan penuh pengembaraan.
Itu waktu sesi persekolahan saja, bab tusyen lain pula. Setiap hari Isnin dan Khamis, aku kena mengajar tusyen untuk budak-budak asrama pada sebelah petang. Paling menyakitkan hati, tusyen yang hari Isnin tu. Ada yang betul-betul nak belajar, tapi ada juga yang datang tusyen semata-mata takut kena hambur dengan warden.
Mulut budak-budak yang spesis tu…Ya Rabbi! Aku malas nak kata…tapi sorry to say…memang bodoh sombong! Bukan nak bersyukur orang tolong ajar, boleh pula main-main macam beruk yang tiba-tiba dapat bunga masa musim luruh dan bersikap kurang ajar pula tu. Apalah nak jadi budak-budak Melayu zaman sekarang?!
Kadang-kadang aku tertanya-tanya juga…mak bapa dia orang tak pernah ajar anakkah sampai anak jadi macam tu? Atau mak bapa pun sama naik?
Tepuk dada, tanya diri sendiri!




