
Celik Mata, Buta Hati
Mac 24, 2008Salam semua!
Ketika itu saya masih berada di dalam bas, risau kalau-kalau sahabat saya tertunggu-tunggu di jeti. Dalam hati, saya berdoa agar pemandu bas itu dapat memandu lebih laju. Apatah lagi langit sudah gelap menandakan hujan bakal turun.
Kalau diikutkan, jarak dari tempat saya menjalankan latihan praktikal, iaitu di Radio Televisyen Malaysia (RTM) cawangan Pulau Pinang yang terletak di Jalan Burma tidaklah jauh sangat. Tetapi faham-faham sajalah, bas Rapid Penang yang terlebih penumpang ini terpaksa berjalan lebih perlahan. Berat agaknya kerana terlebih muatan.
Hampir setiap minggu juga saya menemui sahabat yang saya kenali sejak di UIAM ini. Beliau juga sedang menjalani latihan praktikal di Penang Port. Selalunya kami akan berjanji untuk berjumpa di jeti feri.
Tiba-tiba ringtone lagu Arab saya berbunyi, menandakan ada mesej yang masuk. Sahabat saya itu rupanya.
“Aku sedang tolong pakcik buta naik feri.”
Itu saja mesej yang ditulisnya. Saya pula kehabisan kredit, tidak boleh bertanya lanjut. Nasib baik sahabat saya menelefon untuk memberitahu beliau masih menunggu saya di sana, belum menaiki feri. Lega sedikit hati saya.
Saya pun bergegas ke sana sebaik sahaja bas tiba di jeti. Mata saya melingas-lingas mencari sahabat saya di sebalik tubuh-tubuh manusia yang masing-masing ingin cepat menghambat feri. Akhirnya ketemu juga saya dengan sahabat saya, yang masih berdiri bersama-sama pakcik yang kurang upaya itu.
Sahabat saya meninggalkan pakcik itu di situ. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak dibawa pakcik itu sekali. Menurut sahabat saya, pakcik itu menggesanya untuk pergi dulu. Pakcik itu tidak mampu berjalan lagi kerana kakinya sakit. Beria-ia benar menyuruh kami pergi dahulu kerana dia ingin berehat saja di situ. Kalau hendak didukung, tidak termampu kami berdua! Tertanya-tanya juga saya, kenapa kaum Adam yang ramai itu tidak dapat membantu memapah pakcik itu?
Dengan mata yang sudah berair, sahabat saya menceritakan reaksi orang awam yang melihatnya membantu pakcik buta itu. kebanyakkannya memandang sinis. Lebih teruk lagi, pemandu-pemandu teksi berhampiran yang sedang menunggu penumpang pula mempermainkan pakcik itu. Sekejap disuruh mereka ke kiri, sekejap ke kanan. Selepas itu ketawa dan mengejek pula. Perangai macam budak-budak!
Saya tidak hairan dengan situasi seperti itu. Pernah suatu hari saya ternampak seorang lelaki tua berbangsa Cina yang juga cacat penglihatan terkial-kial mencari bas sehingga hampir dilanggar. Nasib baik ada seorang lelaki India menariknya ke tepi. Kebetulan dia ingin menaiki bas yang sama dengan saya. ketika saya membantunya menaiki bas, saya perasan akan mata-mata yang kurang senang. Kami berbual panjang sepanjang perjalanan, dan sepanjang itulah pandangan orang begitu aneh melihat kami.
Entahlah, apa yang ingin saya rumuskan, ramai di antara kita yang semakin buta hati. Tidak guna kalau mata celik seluas mana sekalipun kalau tidak ada kesedaran sivik dan tidak ada sikap ingin membantu mereka yang kurang upaya. Wallahualam.




